KUCHING: Golongan belia perlu bersedia memikul tanggungjawab sebagai penggerak transformasi digital di daerah masing-masing, bukan sekadar menjadi peserta latihan.
Seruan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak, Ali Suhaili ketika berucap pada Majlis Pembukaan Bootcamp Sarawak Digital Champion 2026 yang berlangsung di sini hari ini.
Bootcamp yang menghimpunkan wakil dari 45 daerah seluruh Sarawak itu dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama AZAM Sarawak sebagai agensi pelaksana di lapangan.
Menurut Ali, kekuatan sebenar program tersebut bukan terletak pada tempoh empat hari latihan, sebaliknya pada komitmen peserta untuk kembali ke komuniti sebagai pemimpin yang membawa perubahan berterusan.
“Kita mahu belia bukan sahaja celik digital, tetapi tampil sebagai pemimpin yang membimbing dan memberi keyakinan kepada komuniti mereka untuk bergerak seiring arus digital,” katanya.
Beliau menjelaskan transformasi digital memerlukan lebih daripada kemahiran teknikal, sebaliknya turut menuntut kefahaman konteks setempat, komunikasi berkesan serta kemampuan membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai organisasi berteraskan komunikasi partisipatif, AZAM memainkan peranan sebagai penghubung antara aspirasi pembangunan negeri dan realiti komuniti di lapangan.
“Komunikasi yang berkesan membina kefahaman, kepercayaan dan penyertaan. Apabila komuniti memahami manfaatnya, mereka akan turut serta secara aktif,” katanya.
Program itu akan diteruskan dengan modul pembangunan berstruktur selama enam bulan merangkumi sesi bimbingan, pemantauan serta pelaksanaan inisiatif digital di peringkat daerah.
Bermula April, peserta akan kembali ke kawasan masing-masing untuk melaksanakan program pertama bersama komuniti setempat.
Beliau turut mengajak komuniti di seluruh Sarawak untuk bersama-sama menyambut kehadiran agen Sarawak Digital Champion yang akan turun ke daerah masing-masing bagi melaksanakan program bimbingan dan pemerkasaan digital.
“Transformasi ini memerlukan sokongan bersama. Apabila agen kembali ke daerah mereka, kita berharap komuniti dapat terlibat secara terbuka dan melihat ini sebagai usaha memperkukuh kapasiti setempat,” ujarnya.
Dalam konteks pembangunan belia, AZAM melalui platform AZAM Young Souls (AYS) terus memberi penekanan terhadap pembentukan holistik yang merangkumi kemahiran, kepimpinan dan disiplin. Belia dilihat sebagai pemangkin utama yang mampu menggerakkan perubahan secara berstruktur dan mampan.
Kerjasama antara SDEC dan AZAM Sarawak mencerminkan pendekatan kolaboratif dalam membangunkan ekosistem digital negeri yang lebih tersusun dan berdaya tahan.
Mengakhiri ucapannya, Ali menyatakan keyakinan bahawa program tersebut akan melahirkan pemimpin digital tempatan yang bukan sahaja mahir teknologi, malah komited memastikan komuniti mereka turut maju dalam era digital.


