KUCHING: Masa depan Sarawak yang lebih lestari tidak boleh dibentuk oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan idea dan tindakan golongan muda serta kerjasama seluruh masyarakat.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, golongan belia perlu berani mencetuskan idea baharu dan tidak takut melakukan kesilapan dalam usaha membawa perubahan kepada negeri ini.

Menurutnya, kelestarian bukan perkara baharu bagi masyarakat Sarawak kerana banyak amalan kehidupan tradisional sebenarnya sudah lama berteraskan konsep menggunakan sumber secara berhemah.
“Tiada idea yang buruk.

Jika anda tidak tahu, ajukan soalan.
Jika melakukan kesilapan, minta maaf dan belajar daripada kesilapan itu,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Karnival SDG Swinburne Sarawak, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama Rentap memberitahu semangat berkenaan jelas dapat dilihat menerusi penganjuran Karnival SDG yang memasuki tahun kelima, termasuk pelibatan pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan sektor swasta dalam pelbagai inisiatif berkaitan kelestarian.
Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai pembangunan yang mengimbangi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Oleh itu, perubahan ke arah kelestarian tegasnya memerlukan masa dan usaha berterusan kerana amalan yang diperkenalkan hari ini perlu menjadi kebiasaan generasi akan datang.
Beliau turut menyifatkan Swinburne Sarawak sebagai pusat ilmu dan pencetus perubahan, sambil menggesa lebih 6,000 pelajarnya memanfaatkan pengetahuan yang diperoleh untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.
Karnival SDG Swinburne Sarawak 2026 berlangsung selama dua hari bermula 27 hingga 28 September, menghimpunkan lebih 500 pelajar, keluarga, agensi kerajaan, NGO dan sektor perniagaan.


