Sekurang-kurangnya 51 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda tenggara Bangladesh sejak minggu lepas, menurut kerajaan pada Ahad.
Kawasan di tujuh daripada 64 daerah pentadbiran Bangladesh ditenggelami air apabila hujan lebat melanda rantau itu sejak Selasa, menjejaskan lebih sejuta penduduk, dengan ramai masih terputus hubungan, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Menurut kerajaan, sekurang-kurangnya 28 orang maut di daerah Cox’s Bazar, yang kebanyakannya etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian sesak. Kementerian turut melaporkan 39 orang cedera, manakala 38,422 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir menjangkakan hujan berterusan di timur laut Bangladesh serta negeri Assam dan Meghalaya di India hingga pagi Selasa.
Hujan lebat sepanjang malam turut menenggelamkan banyak kawasan di ibu negara Dhaka, menyebabkan kesesakan lalu lintas di seluruh bandar pada Ahad.-Bernama-dpa






