MIRI: Malaysia perlu mencontohi Jepun dalam usaha mengamalkan pemakanan berkhasiat untuk kanak-kanak, dan sekali gus membendung masalah bantut dan obesiti yang kian mencanak.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, ini kerana masalah tersebut akan memberi kesan jangka panjang kepada kualiti hidup mereka.
“Pada tahun 1950, ketinggian purata lelaki dewasa di Jepun hanya sekitar 160 sentimeter (cm), namun pada hari ini, mereka telah mencapai ketinggian purata sekitar 170 cm.
“Selain itu, kadar obesiti di Jepun hanya 4.5 peratus, jauh lebih rendah berbanding Malaysia yang mencatatkan kadar obesiti sebanyak 19.7 peratus.
“Pencapaian Jepun ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi ia sudah tentu daripada hasil pelaksanaan beberapa dasar penting,” katanya dalam satu kenyataan.
Menjelas lanjut, beliau berkata bahawa antara dasar yang dilaksanakan adalah School Lunch Program (Kyushoku) yang menawarkan makanan berkhasiat dengan harga berpatutan melalui subsidi kerajaan.
Katanya, program tersebut telah berjaya memastikan kanak-kanak mendapat nutrisi yang mencukupi sejak usia muda, dan sekali gus membentuk budaya pemakanan sihat yang berkekalan sehingga dewasa.
Sehubungan itu, Chiew memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji pendekatan Jepun dalam usaha untuk mengatasi masalah bantut dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
“Selain daripada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah sedia ada, program seperti Kyushoku juga perlu diteliti bagi memperkenalkan elemen-elemen penting ke dalam program pemakanan di sekolah-sekolah,” jelasnya.
Sementara itu, KKM telah bersetuju untuk mempelajari dan mengambil contoh amalan terbaik dari seluruh dunia termasuk Jepun bagi memberi ruang untuk memperkukuhkan program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS).

