Beri keutamaan kepada projek yang telah dilulus

KUCHING: Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan akan meneruskan pembinaan projek yang telah diberi kelulusan.

Menurutnya, projek-projek akan dibina atau disambung pembinaannya termasuk projek yang diumum mantan Menteri Kerja Raya Baru Bian berhubung jalan raya penghubung Sarawak dan Sabah.

“Apabila saya melihat semula fail, peruntukan untuk membina jalan itu diambil daripada kos pembinaan tiga jambatan yang telah dibatalkan. “Namun kita akan teruskan juga membina jalan itu walaupun bukan keutamaan namun ini untuk kepentingan rakyat. Malah ia sudah dilulus di peringkat tender,” katanya di sini, kelmarin.

Jelasnya, projek itu diteruskan tanpa campur tangan politik kerana ia lebih tertumpu kepada kepentingan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan. Ketika menjelaskan mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo yang tertangguh, beliau berkata, perkara tersebut akan diumumkan kemudian.

“Sekarang ini kita sedang mengedar kertas kabinet untuk mendapat input dari semua kementerian. “Ia akan dibentangkan dalam kabinet dan mencari pendekatan dan strategi mengenai pelaksanaan projek ini dengan lebih efisien. “Kalau dapat, kita juga sedang berusaha mempercepatkan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang segera,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Rakan Pelaksana Projek (PDP) tidak akan diwujudkan sekali lagi kerana ia sudah dibatalkan oleh Kerajaan PH. “Apabila ia sudah dibatalkan, kita menghormati keputusan kerajaan terdahulu. Mereka telah membuat keputusan dan ia lebih jimat.

“Sebenarnya, penjimatan itu tidaklah seperti yang digembar-gemburkan oleh mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Realitinya, bukan itu yang berlaku,” katanya. Tambahnya, projek-projek persekutuan yang telah diambil alih dan dibiayai Sarawak selepas dibatalkan PH juga akan diteruskan oleh Kerajaan Sarawak.

“Tetapi, dalam RMK-12 kelak, projek-projek baharu yang menjadi keutamaan kepada Sarawak. “Antaranya yang diberi tumpuan ialah mempercepatkan proses baik pulih sekolahsekolah daif dan sebagainya,” jelas Fadillah.

 

Suara Sarawak