Beri peluang petugas KKM adakan calitan besar-besaran di kawasan MPS

SIBU: Pusat saringan ujian calitan Covid-19 secara pandu lalu di Pustaka Negeri Sarawak Cawangan Sibu akan ditutup berkuat kuasa 22 Februari (Isnin ini).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) dalam satu kenyataannya hari ini berkata, penutupan itu adalah untuk memberi laluan para petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesan kes secara aktif (ACD) di beberapa zon dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

“Susulan beberapa kes positif yang semakin meningkat di kawasan pentadbiran MPS, JPBBS akan menutup pusat secara pandu lalu itu pada Isnin ini.

“Ini bagi membolehkan ACD dapat dijalankan secara besar-besaran di kawasan zon yang terjejas,” kata sumbernya.

Beliau berkata, orang ramai masih boleh menjalankan saringan di klinik-klinik berdekatan dengan mereka seperti di Klinik Kesihatan Lanang dan Klinik Kesihatan Sibu Jaya atau di pusat-pusat kesihatan yang lain.

Zon-zon yang berada di pentadbiran MPS yang berisiko tinggi wabak COVID-19 ini ialah Zon Jalan Tiong Hua, Zon Sentosa, Zon Permai dan Zon Ulu Sungai Merah.

Suara Sarawak