Beri sokongan moral dan henti sebar spekulasi tidak tepat – Len Talif

SARIKEI: Orang ramai diminta menghentikan sebarang spekulasi tidak tepat berhubung pelajar Kolej I System dari Belawai yang disahkan positif Covid-19.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, bukan masanya menunding jari mencari kesalahan sesiapa sebaliknya, masyarakat perlu mendoakan yang terbaik selain memberikan perangsang dan semangat kepada mangsa.

Malah katanya, sebarang maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh pihak tertentu melalui pelbagai platform media perlu dihentikan dengan serta merta.

“Saya dihubungi oleh ahli keluarga pelajar ini untuk memberi gambaran sebenar terhadap apa yang berlaku.

Gambar yang sempat dirakam menunjukkan pelajar berkenaan masih menggunakan gelang ditangannya pada pagi hari raya pertama.

“Susulan itu, saya sudah menghubungi agensi-agensi yang berkaitan untuk mendapatkan pengesahan lanjut termasuk Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pengurus besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Abd Razak.

“Tidak ada catatan rekod perjalanan pelajar ini ke Sarikei. Malah, KKM juga mengesahkan dia tidak menanggal atau memotong gelang ditangannya,” katanya kepada media.

Beliau berkata, rekod Global Positioning System (GPS) yang disalurkan SMA mendapati pelajar terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.

Malah katanya, pergerakan pesakit yang dicatat oleh GPS juga menunjukkan rekod bacaan sekata iaitu 2.23025X 111.218 X (13 Mei, jam 8.20 pagi dan 2.23025X 111.21898X ( 24 Mei, 11.19 pagi). Ini membuktikan beliau berada di tempat yang sama.

“Beliau juga kononnya didakwa berada di sebuah premis serbaneka di Sarikei. Ia tidak betul kerana, premis terbabit mempunyai rekod bacaan GPS berbeza iaitu 2.129360 111.523748,” katanya.

Beliau berkata, maklumat pesakit itu juga berada di rumah saudaranya di Kota Samarahan pada 18 Mac hingga 6 Mei berikutan lanjutan tempoh PKP.

“Pada 7 Mei, dia pulang ke asrama sebelum pulang ke Belawai menggunakan bas khas yang disediakan kerajaan bersama pelajar lain pada 12 Mei. Pada 19 Mei pula, beliau menjalani saringan/swap pertama di klinik Tanjung Manis dan menerima panggilan dari klinik Tanjung Manis bahawa positif covid 19 pada 25 Mei sebelum dibawa ke hospital Sibu.

“Ini membuktikan pelajar ini tidak melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP ) dan bukannya seperti yang tular di media sosial, media massa dan media elektronik.

“Penjelasan ini amat penting bagi menjernihkan kembali keadaan. Apa yang disebarkan memberi tekanan kepada pesakit dan keluarganya. Ini bukan masanya cari salah sesiapa,” katanya yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang.