Bermula dengan suka-suka Ika kini PENIAGA KEK

KUCHING: Bergelar suri rumah tangga bukan penghalang untuk seseorang mengubah nasib keluarganya.

Jika dahulu, suri rumah atau isteri dianggap menggalas tanggungjawab menjaga kebajikan seluruh isi rumah, namun kini segalanya berubah sesuai dengan peredaran zaman.

Ika Othman, 29, suri rumah yang juga peniaga kek menjelaskan dia nekad menjalankan perniagaan bagi menambah pendapatan keluarga kecilnya.

“Mengenang detik permulaan menceburi bidang pembuatan kek, pada awalnya saya hanya suka-suka. Saya membuat kek untuk suami dan rakan kerjanya.

“Dari situ mereka mengesyorkan saya menjalankan perniagaan kek berikutan potensi yang mereka lihat,” katanya kepada Suara Sarawak.

IKA Othman menunjukkan tempahan kek pelanggan…

Ika pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Bioteknologi Sumber dari Unimas dan pernah bekerja sebagai teknikal makmal di salah sebuah kilang di Samalaju, Bintulu sebelum ini.

Dia tidak menjangkakan perniagaan yang dimulakan sejak 2015 itu kekal bertahan sehingga hari ini.

Meskipun hanya bergantung sepenuhnya dengan perniagaan atas talian, dia tetap menerima sambutan yang hangat daripada pelanggan.

“Saya menjual pelbagai jenis kek mengikut kehendak pelanggan dan turut mengambil tempahan untuk majlis termasuk hari jadi, majlis perkahwinan dan sebagainya.

“Harga kek juga ditetapkan berdasarkan permintaan pelanggan mengikut saiz dan hiasan yang diinginkan mereka.

“Sekiranya mendapat tempahan untuk hantaran, saya juga menerimanya dengan meletakkan harga mengikut kesesuaian diminta,” katanya lagi.

Ika turut mendedahkan perniagaan yang dijalankan selama enam tahun ini memberi pulangan lumayan kepadanya sehingga mencecah RM10,000 setahun.

Meskipun menghadapi beberapa cabaran sepanjang menjalankan perniagaan, sambutan menggalakkan daripada pelanggan membakar semangatnya terus maju di bidang yang diceburi.

“Pada PKP tahun lalu, saya langsung tidak menjana pendapatan daripada perniagaan kek kerana pergerakan yang terhad untuk melakukan penghantaran kepada pelanggan.

“Dengan pengamalan kelaziman baharu hari ini, saya mulai menggunakan perkhidmatan Grab Express untuk tujuan penghantaran ataupun pelanggan akan datang sendiri ke rumah mendapatkan kek yang ditempah,” katanya lagi.

Dia turut menjelaskan pelanggan boleh mendapatkan kek dengan harga serendah RM25 untuk kek bersaiz tujuh inchi berperisa brownies dengan taburan manakala, untuk kek hari jadi pula bermula pada harga RM60.

Mengulas perancangan masa depan, Ika berharap dapat memiliki kafe dan kedai pengeluaran produk premix kepada peminat pembuatan kek di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.