PENYANYI berbakat Indonesia, Bernadya Ribka Jayakusuma atau lebih dikenali sebagai Bernadya, kembali mencuri perhatian peminat apabila melancarkan lagu baharunya berjudul Rabun Jauh semalam.
Sebahagian besar lagulagu nyanyian Bernadya sering mengetengahkan tema kesedihan, kekecewaan, putus cinta serta pelbagai kisah percintaan yang dekat dengan realiti kehidupan anak muda, khususnya generasi Z.
Lirik dan melodi yang menyentuh emosi itu turut menjadi latar muzik popular dalam kandungan media sosial, sekali gus menjadikannya satu aliran dalam kalangan pengguna.

Menurut Bernadya, beliau tidak kisah dilabel sebagai penyanyi lagu berunsur emosi sekiranya itu yang digemari peminat.
“Kalau peminat suka saya menyanyikan lagu sebegini, saya akan teruskan,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan karya yang dihasilkan mengandungi unsur emosi yang jujur kerana baginya, muzik merupakan medium terbaik untuk meluahkan perasaan.
“Bagi saya, muzik adalah tempat paling jujur untuk meluahkan apa yang saya rasa,” ujarnya.
Lagu Rabun Jauh menampilkan sisi emosi yang lebih mendalam dengan lirik yang puitis serta susunan muzik yang sederhana, namun menyentuh jiwa.
Lagu tersebut dilihat sebagai kesinambungan kepada karya terdahulu Bernadya yang sering mengetengahkan tema perasaan, kehilangan dan refleksi diri.
Sejak dilancarkan, lagu itu mula mendapat perhatian pendengar di pelbagai platform digital, khususnya peminat yang menantikan karya baharu selepas kejayaan lagu seperti Satu Bulan.
Menariknya, Rabun Jauh turut memperlihatkan kematangan Bernadya dari segi penyampaian vokal dan penceritaan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi generasi baharu yang semakin mendapat tempat dalam industri muzik serantau.
Dalam masa sama, karya tersebut menunjukkan keberanian Bernadya untuk kekal dengan identiti muzik minimalis tanpa terlalu mengikut arus komersial semasa.
Pendekatan itu menjadikan setiap lagunya lebih jujur dan dekat dengan pendengar.
Berdasarkan data Spotify, Bernadya merekodkan lebih 13.6 juta pendengar bulanan, sekali gus mencerminkan penerimaan yang memberangsangkan dalam kalangan pendengar di Indonesia dan negara jiran termasuk Malaysia.
Dengan gaya muzik yang konsisten, namun terus berkembang, Bernadya membuktikan sentuhan emosi yang jujur masih mampu menarik perhatian pendengar dalam landskap muzik masa kini.
Rabun Jauh dijangka terus mendapat tempat di hati peminat dalam tempoh terdekat.



