Bersara awal akibat Covid-19

KUCHING: Pekerja di sektor perhotelan paling teruk terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 pada tahun lalu.
Zainon Razak, 54, berkata, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
“Ini kerana sektor perhotelan dan pelancongan terjejas teruk ketika itu, operasi hotel juga terganggu.
“Saya telah mengambil keputusan untuk bersara lebih awal daripada yang dirancang,” katanya yang berkongsi pengalaman kepada Suara Sarawak, semalam.
Zainon menambah, keputusan untuk bersara lebih awal itu juga disebabkan usia dan faktor kesihatannya ketika ini. “Saya sudah bekerja dalam sektor perhotelan lebih 10 tahun dan tidak bekerja mulai 18 Mac 2020 setelah pelaksanaan PKP.
“Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan mengambil keputusan untuk terus bersara,” ujarnya.
Zainon yang bekerja di salah sebuah hotel tempatan juga memberitahu, ketiadaan pelancong ketika Covid-19 juga telah menyebabkan hotel tidak mampu meneruskan operasi.
“Bagaimanapun, pada tahun ini saya berharap agar kita bebas Covid-19 dan dapat hidup seperti biasa. “Masyarakat juga perlu terus meningkatkan kebersihan dan terus mengamalkan gaya hidup sihat,” tegasnya.
Menurut statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seramai 81,056 penduduk di Malaysia hilang pekerjaan dari tempoh Januari hingga 17 September 2020.
Ia juga telah membabitkan 25 peratus golongan profesional yang kehilangan pekerjaan.

Suara Sarawak