KUCHING: Seorang pegawai cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak ditangkap kerana disyaki bersekongkol membawa masuk dua pendatang asing tanpa izin (Pati).
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata penahanan pegawai terbabit dibuat oleh Jabatan Imigresen di Serian pada dua minggu lepas.
“Pegawai ini masih dalam tahanan pihak Imigresen untuk siasatan lanjut dan kita mengambil serius perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menyempurnakan Majlis Penyematan Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Sarawak dan Penyerahan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah serta Anugerah Pengurusan Perumahan Terbaik PDRM 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Justeru, beliau berkata telah mengarahkan ketua-ketua IPD terutama yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia supaya memastikan pegawai dan anggota masing-masing dipantau.