Bersemuka dengar keluhan rakyat

SIMANGGANG: Program Ziarah Ukas disifatkan sebagai platform mendengar keluhan rakyat secara terus.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis berkata, konsep peduli rakyat harus dititikberatkan.

“Selain berjumpa secara bersemuka, wakil rakyat dan agensi kerajaan dapat mengetahui keluhan rakyat secara terus,” katanya semasa hadir Program Ziarah Ukas di Simanggang, semalam.

Adun Simanggang itu menjelaskan, program ini merupakan tanggungjawab sosial Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang bertujuan mendapatkan input berhubung keadaan semasa di peringkat akar umbi.

“Kita menyantuni golongan sasar dengan pendekatan efisien dan berkesan serta menyemai rasa muhibbah dalam kalangan penduduk melalui kerja-kerja kemasyarakatan.

“Ia sekali gus mengukuhkan hubungan dan semangat kekeluargaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ia sebagai platform melakukan analisis situasi pasca-Covid-19 di peringkat akar umbi.

Pada ziarah fasa pertama, 20 orang penduduk pelbagai kaum menerima bantuan makanan.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Sri Aman Faizal Asi, Pegawai Ukas Daerah Sri Aman Juhara Jorni dan Timbalan Walikota Daerah Sri Aman Kaunselor Andar Suntai.

Suara Sarawak