BETONG: Kehadiran hampir 700 tetamu pada Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak 2026 di sini menjadi manifestasi taat setia dan penghormatan rakyat terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara.
Majlis yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan meriah.
Hal ini sekali gus mencerminkan semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Bagi masyarakat di Bahagian Betong, penganjuran sambutan berprestij tersebut merupakan satu penghormatan besar.
Rata-rata yang hadir menzahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada acara bersejarah itu.
Ketua Kampung Hilir Beladin, Awang Subhi Awang Halil, berkata majlis tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara, malah membolehkan mereka menyaksikan sendiri semangat perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
“Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, saya dapat bertemu dan berinteraksi dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang serta melihat sendiri kekayaan budaya yang terdapat di negeri ini.
“Pengalaman tersebut menimbulkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia serta meningkatkan semangat patriotisme dan kesetiaan kepada Raja serta negara,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak hari ini.
Beliau turut menyifatkan sambutan itu sebagai platform yang membuka ruang kepada masyarakat untuk menimba ilmu, di samping memupuk semangat kerjasama dan persefahaman dalam kalangan rakyat.
“Sudah pasti ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna, membanggakan dan tidak dapat dilupakan,” ujarnya.

Sementara itu, penjawat awam, Ninie Racha Anding, berpendapat sambutan rasmi berkenaan membuktikan institusi diraja merupakan payung kepelbagaian yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat telah menyemarakkan semangat perpaduan, di samping mengukuhkan identiti belia sebagai anak Malaysia yang bangga akan warisan dan budaya tanah air.
“Saya amat berbangga kerana Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak tahun ini diadakan di Betong.
“Inisiatif ini membawa institusi diraja lebih dekat dengan rakyat di peringkat akar umbi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Temenggung Bahagian Betong, Piee Alwi, berkata sambutan kali ini mempunyai signifikan yang amat besar kerana selaras dengan prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, yang menjadi asas penting dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara.
Menurut beliau, institusi Raja berperanan sebagai lambang perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama, malah menjadi payung yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Keberadaan masyarakat daripada pelbagai lapisan dan latar belakang dalam sambutan ini membuktikan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan negara selama ini.
“Bak kata pepatah, raja dan rakyat berpisah tiada.
“Hubungan erat antara institusi diraja dan rakyat perlu terus dipelihara kerana ia merupakan antara tunjang utama kepada kemakmuran, kestabilan politik dan keharmonian sosial negara.
“Sambutan ini membawa mesej penting mengenai perpaduan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kesejahteraan negara terus dinikmati oleh generasi akan datang,” tegasnya.
Majlis Jamuan Teh yang berlangsung dengan lancar dan penuh istiadat itu sekali lagi membuktikan semangat kebersamaan rakyat Sarawak dalam menjunjung institusi diraja serta memelihara keharmonian yang menjadi tunjang kekuatan negeri ini.

Acara dimulakan dengan lawatan Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah dan Abang Johari ke Pameran Raja Kita sejurus tiba di pekarangan Dewan Sukan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan pada pukul 10.30 pagi.
Sebelum majlis bermula, lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, dinyanyikan dengan iringan Pasukan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melibatkan 37 pegawai dan anggota.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Ustaz Mohamad Ihsan Haidzir, sebelum tayangan montaj bertajuk Warkah Jalinan Kedaulatan Negara.
Sebagai simbolik perasmian, Tun Wan Junaidi memotong pulut kuning sebelum menyampaikan sumbangan kepada 50 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Bahagian Betong.

Penerima terdiri daripada mereka yang menerima Bantuan Am (BA), Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar (BPT) serta Bantuan Kanak-Kanak (BKK).
Turut hadir ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan isteri, Datuk Doreen Mayang, Menteri di Jabatan Premier merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan, Datuk Seri John Sikie Tayai bersama isteri, Datin Seri Melia Gelen dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri, Datuk Baduyah Bujang.


