ARTIKEL

Mohamad Abu Bakar menyempurnakan pelancaran awal kampus baharu LISCS di Rampangi, Santubong, hari ini. Foto: MOHD ALIF NONI

Penjawat awam Sarawak bakal nikmati pusat latihan sehenti di Santubong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kampus baharu Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak (LISCS) bernilai hampir RM200 juta di Rampangi, Santubong, bakal menjadi pusat sehenti latihan dan pembangunan kompetensi kepimpinan penjawat awam negeri.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, institusi milik Kerajaan Sarawak itu memainkan peranan penting dalam pembangunan kepimpinan dan peningkatan keupayaan penjawat awam.

Mohamad Abu Bakar merakam kenangan bersama kakitangan LISCS pada majlis pelancaran awal kampus baharu LISCS di Rampangi, Santubong, hari ini. Foto: MOHD ALIF NONI

“Kos pembinaan institut ini kira-kira RM200 juta dan ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama, bilik kuliah dan auditorium.

“Dengan adanya institut ini, kita berharap ia dapat dijadikan sebagai pusat sehenti bagi membolehkan anggota perkhidmatan awam menjalani latihan sebaik-baiknya, sekali gus meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah LISCS berkata demikian ketika ditemui wartawan pada majlis pelancaran awal kampus baharu LISCS di Rampangi, Santubong, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kampus baharu itu juga melambangkan perkembangan institusi, kelestarian serta komitmen berterusan kerajaan dalam melahirkan barisan kepimpinan berkualiti untuk masa depan.

“Kampus baharu ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan LISCS. Ia bukan sekadar perpindahan, tetapi simbol pertumbuhan, kelestarian dan komitmen berterusan kita untuk membangunkan kepimpinan bagi generasi akan datang.

“Ia akan menjadi hab pembangunan kompetensi kepimpinan, komunikasi strategik dan libat urus pemegang taruh.

“Selain memperkukuh keupayaan kita menyediakan latihan dan program bagi mempersiapkan penjawat awam menghadapi keperluan serta cabaran masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kampus baharu itu turut dilengkapi asrama, bilik kuliah, auditorium serta pelbagai kemudahan latihan bagi memperkukuh pembangunan sumber manusia dalam perkhidmatan awam negeri.

“Kemudahan itu membolehkan LISCS memperluas program latihan, memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan kedudukan Sarawak dalam pembangunan kepimpinan sektor awam,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata pelancaran awal kampus berkenaan diadakan selepas pihak pengurusan berpindah masuk, sekali gus memberi peluang kepada ketua jabatan melihat sendiri kemudahan yang bakal digunakan untuk latihan penjawat awam.

“Hari ini kita adakan pelancaran awal terlebih dahulu. Tarikh perasmian sebenar oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

“Hasrat kita adalah untuk menjadikan institut ini sebagai satu mercu tanda kepada perkhidmatan awam Sarawak,” katanya.

Majlis pelancaran awal itu turut merangkumi bacaan doa dan upacara penanaman pokok yang melambangkan pertumbuhan, kelestarian serta komitmen LISCS dalam membangunkan kepimpinan untuk generasi akan datang.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif LISCS, Datuk Dr Azhar Ahmad.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU