ARTIKEL

TBS salur RM100.3 juta kepada asnaf di seluruh Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Seramai 50 penerima Bantuan Sara Hidup menerima Bantuan Kasih Kenyalang daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) sempena Program Ziarah Mahabbah Zon Tengah II di Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Pemangku Pengurus Besar TBS, Iskandar Allan berkata penyerahan bantuan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya untuk meringankan beban kewangan mereka.

Beliau berkata sehingga 31 Ogos 2026, TBS telah menyalurkan RM100.3 juta kepada asnaf yang layak di seluruh Sarawak menerusi empat program utama yang merangkumi pendidikan, kebajikan ummah, pembangunan institusi Islam dan peningkatan kemahiran masyarakat.

Menurutnya, program dua hari anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) yang bermula hari ini hingga 18 Oktober turut menyediakan pelbagai pengisian untuk mendekatkan masyarakat dengan perkhidmatan serta inisiatif yang ditawarkan agensi di bawah majlis berkenaan.

“Antara aktiviti yang disediakan ialah Pameran Pendidikan (Edu Fair) melibatkan 30 agensi kerajaan dan badan berkanun, program khas wanita, aktiviti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sukaneka serta penyerahan bantuan kepada golongan sasaran,” katanya.

Dalam program yang sama, TBS menerusi Akademi Latihan Insan (A.L.I.) turut menganjurkan Kursus Kemahiran Asas Pembuatan dan Dekorasi Kek Hari Jadi yang disertai 50 peserta. Kursus itu bertujuan memperkenalkan teknik asas pembuatan kek serta kemahiran menghias kek yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.

Iskandar berkata kemahiran yang diperoleh peserta diharap dapat membuka ruang kepada mereka untuk meneroka peluang keusahawanan, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.

Program berkenaan akan diteruskan esok dengan Sesi Townhall Pendidikan yang menampilkan tiga panel daripada Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS, TBS dan Yayasan Wakaf Sarawak untuk menjelaskan perkhidmatan, bantuan serta peluang yang disediakan oleh agensi masing-masing.

Program itu turut disertai penduduk dari Bahagian Sibu serta wakil dari Betong dan Sarikei.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU