KUCHING: Betong berdepan misi sukar apabila menentang PDRM di Padang Perumahan, Jalan Astana, petang esok dengan kemenangan besar menjadi sasaran untuk menghidupkan peluang mara ke kelompok empat terbaik Zon Selatan, Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026).
Selain wajib menang, Betong perlu melepasi defisit sekurang-kurangnya 10 gol dan pada masa sama berharap pesaing terdekat, ATM, tewas kepada Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Azmi Abdullah berkata, tugas berat menanti barisan pemain pada aksi terakhir itu.
“Kita turun dengan misi mencari kemenangan besar ke atas PDRM sambil berharap pesaing terdekat kita, ATM, tewas kepada Sri Aman,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurutnya, meskipun peluang dilihat sukar berdasarkan kedudukan semasa, segala kemungkinan masih boleh berlaku dalam bola sepak.
Pemain Betong bersedia memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
Betong kini berada di tangga kelima dengan mengumpul empat mata, manakala ATM di tempat keempat dengan tujuh mata.
Justeru, aksi Betong menentang PDRM serta pertemuan ATM dengan Sri Aman dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan esok.



