ARTIKEL

Naroden bercakap kepada media pada Pelancaran Borneo Kitchen sempena BIHAS 2026 di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

BIHAS 2026 Buka Peluang Borneo Rebut Pasaran Halal Global

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 menjadi platform strategik menghimpunkan pemain industri serantau bagi membolehkan Borneo merebut peluang dalam pasaran halal global bernilai AS$5 trilion.

Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Seri Mohd Naroden Majais berkata, BIHAS yang julung kali diadakan membolehkan semua pihak berkongsi idea, strategi dan pengetahuan dalam usaha meningkatkan keupayaan pengeluaran produk halal untuk memenuhi permintaan pasaran dunia.

“Nilai pasaran industri halal di seluruh dunia kini mencecah AS$5 trilion atau lebih RM20 trilion, manakala pasaran Asia Pasifik pula bernilai sekitar AS$2.8 trilion.

“Pasaran ini amat besar dan terus berkembang setiap tahun, justeru ia menjadi antara faktor yang mendorong Kerajaan Sarawak menganjurkan BIHAS,” katanya ketika ditemui media pada pelancaran awal Borneo Kitchen sempena BIHAS 2026 di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Menurutnya, BIHAS menghimpunkan pemain industri dan usahawan dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam serta Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur.

“BIHAS 2026 akan dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg esok dengan majlis makan malam gala turut diadakan pada 22 Julai bagi memberikan pengiktirafan kepada pengusaha industri halal dari dalam serta luar negara.

“Pengusaha dari Singapura, Thailand, Arab Saudi, Brunei Darussalam dan Indonesia antara yang dinilai bagi menerima pengiktirafan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa Borneo Kitchen menjadi antara tarikan gastronomi utama BIHAS yang menjadi ruang untuk orang ramai menikmati dan mengenali pelbagai sajian tempatan.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha.

Untuk rekod, Borneo Kitchen berlangsung dari 20 hingga 23 Julai, bermula 10 pagi hingga 9 malam di Tebingan Kuching.

Naroden bersama-sama Abdul Rahman dan Misnu menyempurnakan simbolik perasmian pelancaran Borneo Kitchen sempena BIHAS 2026, di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Abdul Rahman Junaidi dan Naroden menyantuni para peniaga.
Abdul Rahman Junaidi dan Naroden menyantuni para peniaga.
Cef Muluk melakukan demonstrasi masakan nasi lapis Laksa Sarawak.

Abdul Rahman Junaidi Naroden dan Misnu merakam gambar kenangan bersama-sama cef Mulu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU