BINTULU: Beberapa laluan utama di bandar raya ini akan ditutup dan dikenakan kawalan trafik secara berperingkat mulai 15 hingga 30 Julai sempena penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) ke-19 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai ini.
Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dalam kenyataan memaklumkan penutupan dan kawalan trafik itu dilaksanakan bagi memastikan kelancaran persiapan festival, keselamatan peserta serta pengunjung, selain menjamin kelancaran penganjuran acara bertaraf antarabangsa berkenaan.
Menurut kenyataan itu, penutupan penuh melibatkan sebahagian jalan di kawasan tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu bermula 15 hingga 30 Julai bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemasangan khemah, gerai pameran dan penyediaan tapak festival.
“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,”ujar kenyataan itu lagi.
Sementara itu, sempena Perarakan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo pada 23 Julai, beberapa laluan utama di pusat bandar akan dikenakan kawalan trafik sementara dari 7 pagi hingga 9 pagi.
Laluan yang terlibat ialah Jalan Keppel, Jalan Abang Galau, Jalan Law Gek Soon dan sebahagian Jalan Sultan Iskandar yang akan ditutup secara separa sepanjang perarakan berlangsung.
BDA memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan keselamatan kira-kira 600 peserta perarakan serta orang ramai yang hadir menyaksikan acara berkenaan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan petugas trafik, mengutamakan keselamatan dan memberi kerjasama sepanjang tempoh pelaksanaan kawalan trafik.
Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo merupakan antara acara pelancongan tahunan utama di Bintulu yang menghimpunkan peserta dari dalam dan luar negara, selain menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan, hiburan dan program kekeluargaan.
Penganjuran edisi ke-19 menyaksikan penyertaan dari 19 negara.


