ARTIKEL

Billy Sujang. | FOTO: UKAS

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia.

ADUN Opar Billy Sujang berkata, naik taraf kemudahan itu berpotensi menjadikan Biawak sebagai hab perdagangan dan logistik.

“Kemudahan ini akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat serta usahawan tempatan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Billy turut menekankan kepentingan kemudahan kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan yang lebih cekap, termasuk penggunaan dokumentasi digital.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik peruntukan pembangunan berjumlah RM175 juta bagi 357 projek di kawasan Opar, merangkumi 187 projek di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Pantai Barat Sarawak (GKCDA) bernilai RM150 juta serta 170 projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM25 juta.
Billy turut menyentuh usaha memperluas kemudahan asas luar bandar, termasuk bekalan elektrik melalui inisiatif Alternatif Luar Bandar yang Dipertingkatkan Sarawak (ALAF).

“Setakat ini, 868 rumah menerima bekalan elektrik, manakala 237 lagi dalam perancangan, dengan harapan lebih banyak rumah dapat menikmati kemudahan itu menjelang Krismas tahun ini,” ujarnya.

Dalam sektor pertanian, beliau menggesa pemodenan melalui penggunaan teknologi seperti dron, penambahbaikan jalan ladang serta peluasan inisiatif Buy Back the Products bagi membantu petani memasarkan hasil mereka.

Beliau turut menyokong pembangunan Metropolitan Food Cluster Sarawak di Stungkor Baru yang menerima peruntukan RM80 juta, selain RM23 juta bagi menaik taraf tujuh projek sawah padi.

Selain itu, Billy menekankan kepentingan mempercepat pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), termasuk pengagihan 422 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang telah tersedia untuk diserahkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU