SERIAN: Loji Rawatan Air baharu di Balai Ringin di sini perlu dibina sebagai langkah menangani permintaan bekalan air yang semakin meningkat.
Adun Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan berkata, ia berikutan Loji Rawatan Air Balai Ringin di sini tidak lagi mampu menampung permintaan yang melebihi bekalan.
“Bekalan elektrik di Dewan Undangan Negeri (Dun) Balai Ringin dapat dinikmati penduduk sepenuhnya cuma bekalan air terawat sahaja hanya sekitar 36.5 peratus dapat dibekalkan kepada penduduk sehingga ke Pasar Balai Ringin setakat ini.
“Selepas kawasan Pasar Balai Ringin memang tiada bekalan air terawat dapat dibekalkan kepada penduduk sekitar….hampir 80 kampung masih belum menerima bekalan air manakala hanya 32 kampung yang mempunyai bekalan air terawat.
“Ini kerana penduduk di kampung-kampung tersebut masih lagi menggunakan air tadahan hujan, air sungai dan sebagainya,” katanya selepas menyempurnakan Program Makmal Mini Daerah Kecil Balai Ringin di Roxy Hotel di sini, hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan terbabit, bagi menyediakan bekalan air terawat kepada penduduk di kawasannya sehingga ke Kampung Spaoh di Simunjan, sebuah loji baharu perlu dibina dengan kos berjumlah sekitar RM300 juta.
Jumlah tersebut katanya telah dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ir Chang Kuet Shian kepada beliau.
“Saya juga telah menyampaikan perkara tersebut kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sewaktu beliau merasmikan tapak Mini Studium Balai Ringin sebelum ini.
“Sementara itu, saya turut difahamkan bahawa punca masalah tersebut berlaku disebabkan loji sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung permintaan bekalan air.
“Disebabkan itu, loji sedia ada perlu dibesarkan atau loji baharu perlu dibina berikutan Dun Balai Ringin terletak di tengah-tengah kawasan antara Serian dan Sri Aman termasuk Simunjan,” jelas beliau.




