KUCHING: Sebuah pusat kemahiran diperlukan di kawasan DUN Ngemah terutama Daerah Kanowit bagi membangunkan modal insan.
ADUN Ngemah Anyi Jana berkata, pembangunan pusat tersebut dapat membawa pembangunan di kawasan tersebut.
Menurutnya, ia secara tidak langsung membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) membuat perancangan selepas tamat sekolah.
“Ketika ini tapak lama SMK Datuk Haji Abdul Rahman Yakub (SEDAYA) di kawasan DUN Ngemah kosong dan terbiar selepas SMK Sedaya berpindah ke lokasi baharu yang lebih sesuai dan praktikal.
“Daripada membiarkan tapak lama SMK Sedaya tersebut kosong dan terbiar, adalah lebih baik tapak tersebut diambil alih Kerajaan Sarawak dan dibangunkan bagi kegunaan pendidikan di DUN Ngemah,” katanya dalam perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, di sini, semalam.
Beliau berkata, penubuhan pusat kemahiran tersebut sudah pasti merancakkan pembangunan pendidikan di kawasan DUN Ngemah dan Daerah Kanowit yang menawarkan pengajian kemahiran peringkat sijil tahap satu hingga tiga dan diploma.


