BAU: Sebuah sistem perparitan berskala besar dibina bagi memastikan projek pembinaan jalan di sepanjang Jalan Jambusan lancar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, kegagalan lorong saliran sedia ada untuk menampung limpahan air khususnya ketika cuaca hujan berterusan menjadi punca gerak kerja pembinaan di lokasi tersebut tergendala.
“Di sana ada saluran bawah jalan, namun kadang-kadang ia tersumbat disebabkan tanah, jadi kita terpaksa membinanya semula.
“Selepas itu, kita bina perparitan konkrit, air yang melimpah dari kawasan itu pula yang menjadi masalah, jadi kita akan buat sistem perparitan yang lebih pajang di sepanjang lokasi itu untuk mengalirkan air besar lebih daripada mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita pada majlis Majlis penyerahan sijil pengiktirafan permohonan diiktiraf Bumiputera Sarawak di Tingkat 2, Kompleks Pejabat Daerah Bau, di sini hari ini.
Henry sambil itu menegaskan beliau sendiri bertindak menghubungi pemilik tanah berkaitan dan kontraktor bertanggungjawab terhadap projek untuk memastikan projek berjalan tanpa gangguan.
Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dengan menuduh bahawa pimpinan sesebuah kawasan tidak menjalankan kerja yang dipertanggungjawabkan.


