ARTIKEL

Mohamad Abu Bakar dan Ruslan bergambar kenangan pada AGM ne-28 BPHB di Putrajaya, hari ini.

Bintulu Port catat keuntungan selepas cukai RM125.06 juta pada tahun kewangan cemerlang 2023

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) tahun lalu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM125.06 juta.

Dalam kenyataan rasmi seusai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 BPHB di sini, hari ini, syarikat tersebut mengumumkan pencapaian cemerlang bagi tahun kewangan 2023 serta komitmennya terhadap pembangunan ekonomi Sarawak.

Menurutnya, pada tahun lalu, BPHB sekali lagi menunjukkan prestasi luar biasa dengan pengendalian kargo mencecah 48.77 juta tan metrik.

“Jumlah panggilan kapal pada 2023 berjumlah 7,708 berbanding 7,505 pada 2022, yakni melepasi sasaran sebanyak 102 peratus.

“Ini didorong pengurusan dan operasi yang berkesan sehingga membawa kepada peningkatan hasil sebanyak RM821.64 juta pada 2023 berbanding RM819.79 juta pada tahun sebelumnya, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM125.06 juta,” katanya.

Jelasnya, pertumbuhan positif itu turut didorong oleh perkembangan dalam pelbagai industri, khususnya sektor minyak dan gas, aktiviti marin dan operasi Roll-On/Roll-Off (RORO).

Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menzahirkan rasa bangga ekoran pengumumam Laporan Tahunan Bersepadu Kumpulan bagi 2023 itu.

Katanya, walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kumpulan itu menunjukkan daya tahan, kebolehsuaian dan komitmen terhadap kecemerlangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani mendedahkan strategi serampang tiga mata syarikat, iaitu mempertingkatkan perniagaan pelabuhan teras, meneroka perniagaan luar pelaburan serta beralih ke ruang karbon rendah dan tenaga bersih.

Menambah lanjut, pihaknya juga memperkenalkan budaya korporat baharu perniagaan yang memfokuskan kepada pelanggan, penyelesaian, peningkatan, fikiran keberhasilan dan dorongan nilai.

Sebagai pelabuhan laut dalam utama untuk memacu pembangunan ekonomi Sarawak, Pelabuhan Bintulu akan terus memainkan peranan penting sebagai pintu masuk eksport utama bagi industri minyak dan gas.

Pelabuhan Bintulu bersedia menjadi hab bagi sumber biojisim, petrokimia dan tenaga hijau selaras dengan agenda tenaga bersih Kerajaan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU