BINTULU: Bahagian Bintulu bersedia menjadi tuan rumah bagi tiga acara sukan yang akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 28 Ogos tahun ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Kee berkata tiga acara yang akan dipertandingkan di Bintulu adalah bola sepak lelaki, sepak takraw dan muay thai.
Beliau berkata acara bola sepak lelaki akan dilangsungkan di Stadium Bintulu dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, sepak takraw di Stadium Muhibah, dan muay thai di NAIM Bintulu, Paragon Street Mall.
Menurut Chang Kee lagi, dianggarkan lebih 1,000 atlet dan pegawai pengiring akan berkampung di UPM Kampus Bintulu yang turut dipilih sebagai lokasi perkampungan atlet sepanjang temasya itu berlangsung di Bintulu.
Ketika ini, tambahnya, pihaknya sedang giat menambah baik venue sukan serta perkampungan atlet yang kini berada pada tahap akhir persediaan.
“Pada masa sama, kita juga akan mempertingkatkan jaringan telekomunikasi dan Internet supaya tidak timbul sebarang masalah sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya kepada media usai Majlis Perasmian Larian Baton SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dewan Suarah Bintulu pada hari ini.
Gimik perasmian disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
SUKMA XXI Sarawak 2024 merupakan kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas 1990 dan 2016.
SUKMA Sarawak 2024 bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara, dengan menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai dari seluruh negeri, termasuk kontinjen jemputan Brunei Darussalam.


