ARTIKEL

BERCAKAP… Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki

Birokrasi ‘Obes’ Akan Lembabkan Pentadbiran Sarawak, Kata Ketua Setiausaha

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Struktur organisasi yang ramping perlu dikekalkan meskipun berdepan peningkatan skop dan tanggungjawab dalam sesebuah jabatan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perkhidmatan awam perlu beroperasi dalam saiz yang lebih ramping bagi memastikan sektor awam kekal berfungsi dengan baik.

“Kita menerima banyak permohonan daripada jabatan-jabatan untuk menambah kakitangan dengan alasan tanggungjawab kerja semakin bertambah.

“Saya tidak setuju. Kita mahu kekalkan organisasi yang kurus supaya lebih efisien. Jangan terlalu obes nanti susah untuk berlari.

“Tidak semestinya kita mesti menambah kakitangan apabila tanggungjawab menjadi semakin besar. Itu bukan cara kita bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Abu Bakar menegaskan hala tuju kerajaan dalam perkhidmatan awam adalah untuk memastikan organisasi kekal ramping.

“Seperti yang saya katakan tadi segala peningkatan atau penstrukturan yang ingin dibuat dalam sesebuah organisasi pastikan kita kekal ramping. Ini hala tuju kita dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kakitangan awam mengamalkan konsep 3R iaitu nilai semula (revisit), fikir semula (rethink) dan perkasa (recharge) sebagai rangka transformasi kerja.

Konsep 3R menekankan penilaian semula proses dan amalan kerja yang tidak lagi efisien, merombak kaedah kerja yang lapuk agar lebih tangkas dan relevan serta memperkasa kapasiti organisasi dan warga kerja.

“Cara kita mendepani kehendak masyarakat kini berubah berbeza dengan zaman sebelum ini. Justeru pendekatan 3R perlu diambil kira untuk menyesuaikan kehendak mengikut peredaran masa,” jelasnya.

Menurutnya dalam konteks perkhidmatan awam kepimpinan negeri mempunyai visi dan misi yang berpandangan jauh dan kakitangan perlu bergerak seiring dengan kepimpinan politik.

“Justeru kita perlu berada di landasan yang sama laju dengan pihak pemimpin demi memastikan hasrat Sarawak untuk kekal mencapai kemajuan dapat direalisasikan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU