ARTIKEL

Ripin berucap pada program BizFrancais Sarawak 2024 di BCCK.

Bizfrancais terus diadakan di Sarawak, lahir usahawan muda unggul ceburi bidang francais

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program BizFrancais akan terus diadakan di Sarawak yang menjadi salah satu lokasi pilihan penganjuran untuk melahirkan usahawan yang berminat menceburi bidang francais.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat, berkata kementeriannya sentiasa menyokong usaha PERNAS melalui kerjasama kementerian dan agensi negeri, termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi tujuan itu.

Justeru katanya, diharapkan PERNAS bersama pihak yang terlibat dapat mengenal pasti dan seterusnya melatih, membimbing serta memberi bantuan pembiayaan kepada usahawan tempatan untuk mereka membangunkan perniagaan ke arah francais.

“Kita sedia maklum, terdapat banyak perniagaan francais tempatan yang berjaya di negara ini.

“Antara jenama yang cukup dikenali pada peringkat domestik dan antarabangsa seperti Marrybrown, Smart Reader Kids, Tealive, Global Art dan banyak lagi.

“Apa yang cukup membanggakan, terdapat juga jenama-jenama francais dan pra-francais yang berasal dari Sarawak yang berjaya dan berkembang maju,” katanya ketika berucap merasmikan program BizFrancais Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Sehubungan itu, para usahawan dan bakal usahawan Sarawak diharapkan tidak melepaskan peluang yang disediakan untuk membawa jenama dan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi melalui francais.

Tambahnya, kementeriannya melalui Bahagian Pembangunan Usahawan sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan perniagaan usahawan tempatan termasuk jenama-jenama yang berkembang dengan maju di Sarawak.

Pada masa sama, katanya, sinergi kerjasama antara PERNAS dan kementeriannya dapat diteruskan untuk merangka program khas bagi membantu usahawan dan bakal usahawan Sarawak untuk menembusi pasaran yang
lebih luas menerusi bidang francais ini.

“Ini selaras dengan sasaran kami di pihak kementerian untuk melahirkan usahawan belia unggul menjelang 2030,” ujarnya.

Ripin (dua kanan) meninjau gerai pameran pada program BizFrancais Sarawak 2024 di BCCK.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Chek Zainuddin Chek Jusoh, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan, Francais Pernas Mazlan Ibrahim, Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Asmawaty @ Siti Asmah Ahmad, Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti SEDC, Nikk Adam Abdillah Kipali, dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group, Kushari Abang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU