SARIKEI: Blok baharu Rumah Sarawak Dayak National Union (SDNU) Cawangan Sarikei menjadi simbol perpaduan dan kemajuan masyarakat Dayak di sini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, SDNU bukan sekadar sebuah pertubuhan, tetapi nadi perpaduan dan suara perjuangan masyarakat Dayak.
“Ia menjadi landasan penting dalam memperkasa hak, martabat dan pembangunan sosioekonomi masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian bangunan baharu berkenaan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menyeru agar SDNU Sarikei terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dan pemangkin perpaduan serta kemajuan masyarakat Dayak.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SDNU Sarikei telah menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM420,000 dari tahun 2018 hingga 2025 bagi tujuan menaik taraf prasarana dan kemudahan dewan SDNU.
“Ini bukti bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mendengar dan memberi perhatian kepada keperluan rakyat.
“Gunakanlah kemudahan ini untuk manfaat semua, bukan sahaja untuk aktiviti organisasi tetapi juga untuk komuniti keseluruhannya,” ujarnya.

