SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) akan menterjemahkan kepercayaan yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menerusi pentadbiran yang bertanggungjawab, berorientasikan rakyat serta berpaksikan prinsip kestabilan dan kemajuan negeri.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata gabungan itu akan terus menjunjung politik kesederhanaan, memperkukuh perpaduan antara kaum, mengamalkan tadbir urus yang baik serta bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan Negeri Sembilan kekal stabil, maju, inklusif dan makmur.
Beliau berkata BN turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan semua lapisan masyarakat atas sokongan, keyakinan serta kepercayaan yang diberikan pada PRN kali ini.
Menurutnya, kemenangan itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan demi berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Zambry berkata keputusan PRN Negeri Sembilan menunjukkan rakyat terus meletakkan keyakinan kepada pendekatan politik yang sederhana, stabil dan berteraskan perpaduan seperti dilapor Bernama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerja keras sehingga membawa kejayaan kepada BN.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PN lima kerusi sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 5 Jun lalu.



