ARTIKEL

Sharifah Hasidah (UKAS)

Tuntutan Satu Pertiga Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Tunggu Mekanisme Pelaksanaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak masih menunggu mekanisme pelaksanaan meskipun Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Kerajaan Sarawak kekal dengan pendirian bahawa perwakilan kedua-dua wilayah itu perlu mencerminkan semangat dan asas pembentukan Malaysia pada 1963.

“Kerajaan Sarawak kekal dengan pendirian bahawa kedudukan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen perlu mencerminkan semangat dan asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mengenai status tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menurutnya, persetujuan secara prinsip itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 11 September lalu.

“Bagaimanapun, mekanisme pelaksanaan, termasuk jumlah kerusi yang akan diperuntukkan serta pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diperlukan, masih perlu diperhalusi.

“Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen itu bertujuan memastikan Sabah dan Sarawak mempunyai perwakilan mencukupi dalam Dewan Rakyat, khususnya bagi melindungi hak dan kepentingan kedua-dua negeri apabila pindaan Perlembagaan dibahaskan,” katanya

Jelasnya, dengan perwakilan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi, Sabah dan Sarawak secara bersama akan mempunyai kedudukan lebih bermakna dalam proses pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Kerajaan Sarawak melihat isu ini bukan sekadar soal angka semata-mata tetapi juga untuk memastikan kedudukan serta hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan dalam pembentukan Malaysia terus mempunyai
perlindungan yang bermakna dalam struktur Persekutuan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU