LUNDU: Mesyuarat Agung Tri-Tahunan SABERKAS Cawangan Tanjong Datu 2026-2029 yang diadakan baru-baru ini menyaksikan Bolhasan Haji Putit diberi kepercayaan menerajui tampuk kepimpinan badan induk berkenaan.
Beliau berjaya memenangi jawatan Pengerusi pada pemilihan barisan jawatankuasa untuk penggal baharu tersebut.
Sementara itu, Mohammad Naiemm Samsudin dan Mohamad Asim Juss masing-masing menyandang dua jawatan Naib Presiden apabila turut menang bagi jawatan terbabit.

Pemilihan barisan jawatankuasa baharu terbabit diadakan di Dewan Mahligai Gading, Lundu berlangsung dalam suasana harmoni dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Anuar Adenan.
“Terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir pada mesyuarat tersebut.
“Kepercayaan diberikan anda kepada saya dan rakan-rakan untuk menerajui tampuk kepimpinan badan induk ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang penting,” ujar Bolhasan ketika mengulas mengenai perkara itu.
Apa pun katanya, mereka akan cuba melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna sebagai membalas kepercayaan yang diberikan.
Dalam pada itu, Azizul turut menzahir ucapan tahniah kepada barisan jawatankuasa baharu terbabit.
Azizul percaya, gabungan pengalaman barisan jawatankuasa baharu berkenaan mampu meletakkan SABERKAS Cawangan Tanjong Datu ke tahap lebih cemerlang.


