BINTULU: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Indonesia daripada cubaan membunuh diri di bangunan Li- Hua Plaza, di sini, petang tadi.
Ketua JBPM Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad dalam kenyataannya berkata, seramai 13 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.25 petang.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian didapati wanita itu sudah berada di atas Tingkat Tiga bangunan Li- Hua Plaza dan dipercayai sudah bersedia untuk terjun dari bangunan terbabit.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pujukan selama sepuluh minit dengan salah seorang anggota berjaya menarik wanita itu bagi menghalangnya.

“Wanita berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.