Bomba pantau kawasan berisiko banjir

SARIKEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei melakukan pemantauan di empat lokasi utama yang dikenal pasti berisiko banjir kilat, di daerah ini. Lokasi terbabit ialah Sungai Rajang, Sungai Sare, Sungai Kinyau dan Muara Payang selain beberapa kawasan rendah yang lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, rondaan bermula jam 9.00 pagi hingga 3.30 petang itu juga sebagai sebahagian pelaksanaan ujian bot bagi kesiapsiagaan persediaan menghadapi musim banjir.

“Operasi ini disertai lima anggota yang menyelusuri sepanjang sungai berkenaan. “Ini merupakan langkah keselamatan pada peringkat persediaan bagi memastikan sumber-sumber penyelamat berfungsi dengan baik sewaktu diperlukan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan setakat ini, keadaan limpahan air masih berada pada tahap selamat termasuk di kawasan rendah.

Bagaimanapun katanya, penduduk di kawasan terlibat perlu sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu katanya, Bomba Sarikei sudah melakukan persiapan lebih awal sebagai langkah untuk mengurangkan risiko bencana alam berkenaan.

“Pelbagai persediaan awal amat penting dalam memastikan keselamatan dan nyawa orang awam.

“Pada masa sama, saya menasihatkan penduduk agar menyimpan dokumen penting di tempat selamat dan menghubungi pihak bomba sekiranya berlaku kecemasan,” tambahnya.

Suara Sarawak