SERIAN: Pemantauan di Kampung Belimbing A mendapati paras air meningkat sehingga kira-kira satu kaki di jalan raya, manakala beberapa kawasan rumah dilaporkan dinaiki air.
Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, tiada pemindahan penduduk dijalankan kerana keadaan masih terkawal.
“Susulan Monsun Timur Laut yang sedang melanda, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak menjalankan rondaan pemantauan di kawasan berisiko banjir pada pagi tadi,” kata laporan itu.
Sementara itu, laporan berkenaan memaklumkan, rondaan dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Serian dengan kekuatan tiga anggota dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Kawasan tumpuan rondaan adalah di sepanjang Jalan Serian–Sri Aman, khususnya di Kampung Belimbing A yang sering mengalami kenaikan paras air ketika musim Monsun Timur Laut.
“Hasil pemantauan mendapati paras air di jalan raya sekitar satu kaki, manakala beberapa rumah penduduk dinaiki air setinggi lutut.
“Keadaan ini masih terkawal dan tidak menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan penduduk,” kata laporan itu.
Trend paras air dilaporkan menurun dan mula surut sekitar 11 pagi. Rondaan dijalankan bagi memastikan tiada peningkatan mendadak yang boleh membahayakan penduduk.
Penduduk di kawasan berisiko diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.






