KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengenal pasti lima kawasan panas (hotspot) berisiko tinggi berlakunya kebakaran terbuka susulan cuaca kering yang melanda negeri ini.
Pengarahnya, PKPjB Jamri Masran berkata, lima kawasan berkenaan dikenal pasti hasil pemantauan data satelit dan analisis rekod kebakaran terdahulu, dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Antara kawasan terbabit ialah Kampung Selarat di Lundu; Kampung Lachau Jinggau di Sri Aman; Rumah Pilai dan Lusong Laku di Bintulu serta Long Tuyut di Marudi.
“Kawasan ini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi yang boleh menyumbang kepada berlakunya kebakaran terbuka, sekali gus memburukkan keadaan jerebu,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kesiapsiagaan JBPM Sarawak dalam menghadapi musim kering dan risiko kebakaran terbuka di negeri ini.
Mengulas lanjut, Jamri berkata, JBPM menempatkan aset logistik seperti pam air mudah alih, jentera tangki air dan peralatan khas pemadaman di kawasan berisiko yang dikenal pasti.
“Anggota bomba turut dilatih secara berterusan dengan teknik pemadaman terkini, terutama melibatkan kawasan mencabar seperti tanah gambut.
“Kita juga menyusun operasi secara strategik dengan melibatkan Bomba Sukarela dan Pasukan Bomba Komuniti di kawasan luar bandar bagi mempercepatkan waktu respons ke lokasi kebakaran,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, khususnya pemilik ladang dan tanah pertanian.
Pembakaran terbuka bukan sahaja meningkatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), malah boleh mencetuskan kebakaran besar jika tidak dikawal, katanya lagi.
“Ia juga menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan tindakan boleh diambil terhadap pelaku,” tegasnya.
Jamri turut menggesa masyarakat supaya sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang tanda awal kebakaran kepada pihak bomba bagi mengelakkan kebakaran merebak dan sukar dikawal.


