KUCHING: Video lirik Life Circle turut akan ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi BOP pada 27 Jun 2026, sekali gus memberikan pengalaman visual yang melengkapkan mesej reflektif yang dibawa oleh lagu berkenaan.
Menurut BOP, proses rakaman Life Circle yang dikendalikan oleh Farouk Kamil telah diselesaikan sepenuhnya di AOK Records, termasuk proses rakaman, adunan dan pemasteran.
“Sepanjang proses produksi, anggota kumpulan bekerjasama rapat dalam memperhalusi susunan lagu melalui beberapa sesi bagi memastikan mesej emosi yang ingin disampaikan kekal utuh.
“Ini memberi ruang kepada eksperimen dan pembangunan bunyi yang lebih matang,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, ujarnya, sesi penulisan lagu dijalankan secara kolaboratif oleh semua anggota kumpulan, bermula daripada idea melodi awal sebelum berkembang menjadi sebuah komposisi yang lengkap.
“Beberapa perubahan dan penambahbaikan turut dilakukan sepanjang proses produksi, khususnya melibatkan susunan vokal, lapisan gitar serta struktur dinamik lagu sebelum versi akhir dimuktamadkan,” tambahnya.
BOP berkata, walaupun tidak dihasilkan khusus sebagai lagu kempen, Life Circle secara semula jadi selari dengan tema Bulan Kesedaran Kesihatan Mental menerusi penekanannya terhadap kesedaran emosi, ketahanan diri dan refleksi peribadi.
“Kami berharap lagu ini dapat menggalakkan pendengar untuk lebih memahami perjalanan hidup mereka serta menerima proses pertumbuhan yang berlaku sepanjang kehidupan,” jelasnya.
Sementara itu, penulis lirik BOP, Adli, memaklumkan bahawa inspirasi di sebalik penghasilan Life Circle lahir daripada pemerhatian terhadap bagaimana setiap individu melalui kitaran kehidupan yang hampir serupa.
“Tidak kira dari mana kita datang atau jalan hidup yang kita pilih, kehidupan sering membawa kita melalui kitaran yang sama seperti pertumbuhan, kehilangan, harapan dan pembaharuan.
“Life Circle adalah tentang menyedari detik-detik tersebut dan memahami bahawa setiap pengakhiran selalunya menjadi permulaan kepada sesuatu yang baharu,” kongsinya.
Untuk rekod, sejak dilancarkan pada 30 Mei 2026, Life Circle menjadi antara karya penting dalam katalog muzik BOP, sekali gus memperlihatkan perkembangan berterusan kumpulan sebagai penulis lagu dan pemuzik tanpa mengabaikan identiti serta keaslian yang menjadi kekuatan mereka.
Life Circle kini boleh didengari di Spotify, Apple Music, YouTube Music, Deezer, Amazon Music dan pelbagai platform penstriman digital utama lain di seluruh dunia.
BOP dianggotai oleh Reemy selaku vokalis, Adli sebagai pemain gitar utama dan gitar ritma, Hazrie sebagai pemain dram, Nigel sebagai pemain gitar ritma dan gitar utama, serta Hairul sebagai pemain bass.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan Bunch of People menerusi platform media sosial rasmi kumpulan itu di Facebook, Instagram, X dan YouTube dengan nama pengguna @bunch0fpeople, selain mendapatkan maklumat lanjut melalui pautan Linktree rasmi mereka.


