BERBAKI 16 hari sebelum kaki Gunung Santubong kembali bergema dengan dentuman muzik elektronik menerusi Borderland Music Festival 2026. Ribuan peminat dijangka membanjiri Sarawak bukan semata-mata untuk menyaksikan barisan bintang antarabangsa, tetapi turut menikmati pengalaman Borneo.
Dengan kemunculan nama besar seperti KSHMR dan Blasterjaxx, festival berkenaan berpotensi menjadi tarikan kepada peminat muzik elektronik dari luar Sarawak yang sanggup merentasi Laut China Selatan, menempah penginapan lebih awal dan menyusun perjalanan ke Kuching demi menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi.


Borderland Music Festival 2026 akan berlangsung di Sarawak Cultural Village (SCV), Santubong, pada 11 dan 12 September ini, dengan sasaran antara 21,000 hingga 22,000 pengunjung.
Pengasas Borderland Music Festival, Tiger Ming, menyifatkan penganjuran edisi keempat itu sebagai antara yang terbesar sejak festival berkenaan diperkenalkan pada 2023.


Katanya, selain KSHMR dan Blasterjaxx, barisan artis antarabangsa tahun ini turut menampilkan Ben Nicky, Arcando, Juelz dan RAMENGVRL, selain lebih 40 artis serantau.
“Mereka mungkin datang kerana muzik, tetapi diharapkan pulang dengan membawa cerita keindahan dan keunikan di Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.


Bagi peminat muzik elektronik, kemunculan KSHMR menjadi antara tarikan utama apabila artis berkenaan dijadualkan beraksi di SCV pada 11 September ini, sekali gus membawa nama besar dalam industri muzik elektronik antarabangsa ke pentas Borderland.
Keterujaan itu turut dikongsi sendiri KSHMR menerusi video promosi yang ditujukan kepada peminat di Kuching.


“Hello Kuching, saya KSHMR dan saya tidak sabar untuk bertemu anda semua di Borderland Music Festival 2026 di SCV, pada 12 September 2026,” katanya.
Namun, di sebalik nama besar yang terpampang pada poster festival, Borderland membawa misi yang lebih besar — menjadikan muzik sebagai pintu masuk untuk pengunjung mengenali Sarawak.


Borderland mempunyai kelebihan yang mungkin tidak dimiliki banyak festival muzik elektronik lain apabila pengunjung bukan sekadar berada di kawasan festival yang dikelilingi bangunan konkrit, mereka datang ke SCV dengan latar alam semula jadi dan budaya Borneo di kaki Gunung Santubong, sekali gus mempertemukan muzik elektronik moden dengan identiti budaya Sarawak.
Menurut Tiger Ming, Borderland sejak penubuhannya membawa gagasan menggabungkan muzik, budaya dan alam semula jadi Borneo, selain menyediakan ruang kepada bakat tempatan.

Katanya, festival itu turut menampilkan persembahan tradisional, tarian, acara kebudayaan dan pesta makanan sebagai sebahagian daripada pengalaman pengunjung.
Bagi edisi 2026, festival berkenaan turut memperkenalkan bengkel budaya tradisional buat pertama kali, selain memperluas ruang untuk seni dan kraf tangan tempatan.
Muzik menjadi pintu masuk, Sarawak menjadi pengalaman. Dan pengalaman itu mempunyai nilai ekonomi yang lebih besar daripada sekadar dua malam persembahan.
Selepas tiga edisi, Borderland menarik kira-kira 33,000 pengunjung dan menjana impak ekonomi sekitar RM10 juta terutama menerusi sektor pelancongan dan hospitaliti.
Untuk edisi 2026, Tiger Ming menyasarkan antara 21,000 hingga 22,000 pengunjung dengan impak ekonomi langsung sekitar RM8 juta kepada Sarawak.
Beliau berkata, angka berkenaan diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai pelbagai sektor apabila pengunjung mula menempah bilik hotel, makan di restoran, menggunakan pengangkutan serta membeli produk dan cenderamata tempatan.
Menurut Tiger Ming lagi, penginapan di kawasan berkenaan habis ditempah dalam tempoh beberapa jam, manakala peniaga makanan pada edisi lalu turut mencatat jualan sehingga kehabisan stok pada kedua-dua hari festival.
Bukan hanya membawa dunia ke Sarawak
Di sebalik KSHMR, Blasterjaxx dan barisan artis antarabangsa, satu lagi cerita sedang dibina — peluang untuk bakat tempatan berdiri di pentas yang sama.
Tiger Ming berkata, Borderland bukan hanya bertujuan membawa artis antarabangsa ke Sarawak, tetapi turut menyediakan ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang.
“Malah, lagu rasmi festival 2026, ‘Borderland Anthem’, dihasilkan seorang DJ dari Sibu yang sebelum ini belum pernah mendapat peluang membuat persembahan di pentas besar.
“Namun, Borderland memberikan peluang besar kepadanya untuk tampil di pentas ini,” katanya.
Peluang itu menjadikan Borderland bukan sekadar pentas yang membawa dunia ke Sarawak, tetapi ruang untuk Sarawak memperkenalkan bakatnya kepada dunia.
Ia juga selari dengan visi festival yang diasaskan pada 2023 untuk menggabungkan muzik, budaya dan alam Borneo serta meletakkan festival itu sebagai antara acara muzik utama di Asia.
Impian Borderland kini memasuki fasa yang lebih besar apabila jumlah pengunjung dan barisan artis antarabangsa terus berkembang.
Bagi Sarawak, potensi itu penting kerana dalam persaingan destinasi pelancongan dunia, pengunjung tidak semestinya memilih sesuatu tempat hanya kerana bangunan, pantai atau pusat beli-belah.
Kadangkala, mereka memilih destinasi kerana sesuatu yang mahu mereka rasai. Bagi peminat muzik elektronik, sesuatu itu mungkin KSHMR atau Blasterjaxx.
Namun, apabila mereka tiba di Kuching, mereka menemukan Santubong, budaya Borneo, makanan Sarawak serta pengalaman yang tidak mereka peroleh ketika hanya mendengar muzik dari jauh.
Dan apabila muzik terakhir berhenti, pengalaman itu tidak sepatutnya berakhir di pintu keluar festival. KSHMR mungkin hanya berada di pentas untuk beberapa jam. Blasterjaxx juga akan datang dan pergi selepas dentuman terakhir.
Tetapi bagi Sarawak, peluang yang ditinggalkan mereka jauh lebih panjang. Kerana ribuan manusia yang datang ke Santubong bukan sekadar membawa tiket. Mereka membawa mata dunia.



