Andi Aqilah
KUCHING: Borneo 100 Triathlon 2026 yang dijadualkan berlangsung di Sematan pada 21 Jun nanti dijangka menampilkan atlet dari beberapa negara, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan sukan dan acara ketahanan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara yang julung kali diadakan ini bakal menarik penyertaan dari Singapura, Brunei, Indonesia, Jepun, Jerman, Filipina, China, Rusia dan Itali.

“Sasaran sekurang-kurangnya 20 peratus penyertaan antarabangsa, acara ini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai jenama triatlon bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media Borneo 100 Triathlon 2026 di pejabatnya di bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata salah satu kelebihan utama Borneo 100 Triathlon 2026 ialah lokasinya di Sematan – di hujung Borneo dengan menawarkan pengalaman perlumbaan yang unik iaitu renangan di laut, kayuhan basikal di pesisir pantai dan laluan larian di Lebuh Raya Pan Borneo.
Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menambah, acara itu juga secara tidak langsung membawa manfaat kepada komuniti tempatan, khususnya di Sematan melalui perkhidmatan inap desa, peniaga makanan tempatan dan pengangkutan.
Selain itu, katanya perlumbaan itu akan menggunakan sistem pemasaan profesional oleh penjaga masa rasmi Sukan SEA – memperkukuh kredibiliti serta memastikan ketepatan dan integriti keputusan perlumbaan.


