KUCHING: Penemuan bangkai vesel berwarna hijau di kedudukan 3.9 Utara Tanjung Moyan hari ini menjadi petunjuk baharu kehilangan seorang nelayan asing di perairan Pulau Burong, 17 Disember lepas.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) hari ketiga mangsa hari ini terpaksa ditangguhkan pada 6 petang.
“Operasi disambung semula hari esok bagi mencari seorang lagi nelayan warga negara asing yang terlibat dalam nahas Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dipercayai karam di Pulau Burong, di sini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kamal, operasi hari ini bermula seawal 7 pagi bagi mengesan mangsa terakhir Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang gagal dihubungi dipercayai karam 17 Disember lepas.
Beliau berkata, radius sektor pencarian diperluas meliputi 484.02 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Burong.
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) dan mangsa terakhir masih lagi tidak ditemukan sehingga laporan ini dikeluarkan, katanya.
“Selain PDRM, APM dan UKPS, agensi sahabat lain yang turut membantu dalam Op Carilamat ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuching serta Lembaga Sungai Sungai Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, lima daripada enam nelayan yang hilang berjaya dijumpai selamat sejak operasi SAR dijalankan bermula Isnin lepas.



