SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah flat di Pelabuhan Klang, dekat sini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Supt Kamalariffin Aman Shah, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu melalui panggilan kecemasan kira-kira jam 8 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, bapa mangsa berada di tempat kerja manakala ibu mangsa keluar menghantar anak keduanya ke rumah pengasuh.
“Kanak-kanak warga tempatan itu dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat lapan. Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan. — BERNAMA

