DEBAK: Budaya kesukarelawan perlu dipupuk sejak awal usia memandangkan ia mampu membentuk sahsiah belia, selain mengeratkan hubungan antara generasi muda dengan warga emas dalam masyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, warga emas perlu terus disantuni menerusi pelbagai aktiviti kesihatan, sosial dan sokongan komuniti agar mereka dapat menjalani kehidupan lebih sejahtera dan bermakna.
“Belia sebagai pemimpin masa depan wajar diterapkan dengan nilai kesukarelawan sejak awal lagi.
“Jika nilai kesukarelawan dan kebajikan berjaya diterapkan sekarang, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga mempunyai jiwa besar untuk membantu masyarakat terutama warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program RyThm: Ritma Kehidupan Harmoni Sukarelawan Belia Dalam Perkhidmatan Kebajikan dan Program Sihat Warga Emas di Dewan Millenia, semalam.
Menurut ADUN Saribas itu, pertubuhan belia, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu memperluas pelibatan anak muda dalam aktiviti sukarelawan serta program khidmat komuniti.
Katanya lagi, Program RyThm anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak menjadi platform terbaik mendedahkan golongan belia kepada nilai kebajikan, kesukarelawan dan semangat membantu masyarakat, khususnya warga emas serta golongan memerlukan.
Razi turut menegaskan, kerajaan menggalakkan lebih banyak program berasaskan komuniti dilaksanakan kerana pendekatan tersebut mampu melahirkan masyarakat yang lebih inklusif, penyayang dan saling membantu.
Program kali ini disertai 100 warga emas daripada enam Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Bahagian Betong, selain 30 ahli Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB) dan 60 belia daripada Pertubuhan Sukarelawan Belia.



