KUCHING: Kerajaan menambah baik kemudahan BUDI Diesel dengan membenarkan pemindahan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penambahbaikan itu dibuat susulan rayuan dan permasalahan yang disuarakan rakyat, khususnya pemilik kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak.
“Pertama, kemudahan pemindahan kelayakan akan diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terbatas kepada ahli keluarga terdekat.
“Kedua, pemilik berdaftar yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel dibenarkan memindahkan kelayakan bagi setiap kenderaan kepada maksimum tiga kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Anwar berkata kedua-dua penambahbaikan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata kerajaan mengambil kira maklum balas rakyat dalam menambah baik pelaksanaan bantuan berkenaan.
“Ini ertinya demokrasi, kita dengar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak dunia meningkat.
Beliau berkata harga minyak mentah ketika ini meningkat kepada sekitar AS$102 setong berbanding sekitar AS$70 setong ketika belanjawan tahun lalu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan kenaikan kos bahan api membebankan rakyat.
“Keputusan kerajaan dan keputusan Jemaah Menteri adalah untuk tidak membebankan rakyat. Maka kita kekalkan harga RON95 RM1.99, harga terendah di dunia,” katanya.


