KOTA SAMARAHAN: Penganjuran IdeaXchange ke-38 akan membuka lebih banyak peluang perkongsian mengenai projek penyelidikan antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan Akademi Sains Malaysia (ASM).
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, program itu juga menjadi platform untuk bertemu dan berinteraksi dengan pihak berkepentingan serta bertukar-tukar idea mengenai topik penting yang dibincangkan.
“Saya berharap agar program ini dapat membuka lebih banyak peluang antara UNIMAS, ASM dan semua agensi lain yang terlibat untuk bertukar-tukar idea, pengalaman, serta latar belakang budaya kita yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UNIMAS Profesor Ir. Dr Siti Noor Linda Taib pada program pelancaran IdeaXchange ke-38 di Perpustakaan Tun Abdul Rahman Ya’kub (PeTARY), UNIMAS, di sini, hari i ini.
Tambahnya, matlamat UNIMAS adalah untuk mencipta penyelidikan translasi berkesan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya melalui penglibatan, pengukuhan dan pembudayaan penyelidikan dalam kalangan ahli akademik.
“Saya juga berharap agar kita semua dapat memanfaatkan pertemuan ringkas ini untuk berkongsi minat dan bertukar-tukar maklumat mengenai projek penyelidikan yang lepas, kini dan akan datang, sama ada di UNIMAS atau di luar UNIMAS,” ujarnya.
Untuk rekod, ASM telah memilih UNIMAS untuk menjadi tuan rumah bagi program IdeaXchange ke-38 bertajuk “Indigenous Cultures, Practices and Views from Borneo toward the Promotion of Planetary Health”. Ia juga akan disusuli dengan dengan Jerayawara ASM Sarawak Chapter pada sebelah petang ini.
Selain forum dan ceramah khas, terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan termasuk pameran berkaitan – Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP); Jurnal Sains ASM; ASM Podcast; Estidotmy; Kerjaya di ASM; dan Kerjaya di ASM.


