SIBU: Dalam tempoh empat tahun terakhir ini, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Wong Ching Yong, berjaya mencetuskan perubahan besar di kawasan Dudong menerusi pelaksanaan projek-projek bernilai RM123 juta.
Meskipun tidak dipilih sebagai wakil rakyat, dedikasi dan kecekapannya telah membawa pembangunan signifikan kepada komuniti setempat.

Ching Yong tewas sebagai calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kawasan Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum 2022.
“Sejak 2020 hingga 2024, sebanyak RM123 juta projek telah diluluskan untuk Dudong, khususnya di kawasan luar bandarnya yang terletak di bawah pentadbiran MDLBS.
“Ini adalah hasil kerjasama erat dengan pelbagai pihak, termasuk Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, serta agensi kerajaan,” ujar Ching Yong pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi SUPP Dudong itu bersama pasukannya telah membuka khidmat kaunter bergerak di sebuah kedai kopi di Jalan Salim di sini.
Antara projek utama yang berjaya direalisasikan hasil perjuangan Ching Yong dengan kerjasama pelbagai pihak ialah kerja naik taraf Jalan Pulau Dudong (7.6 kilometer) dengan kos RM40 juta, untuk meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan penduduk.
Ia diikuti dengan pembaikan dan naik taraf 15 sekolah kebangsaan (SK) luar bandar dengan peruntukan RM200,000 setiap sekolah, yang memberi impak positif terhadap mutu pendidikan anak-anak luar bandar.
Turut diluluskan dalam Belanjawan 2022 dan 2023 ialah pembinaan SMK dan SK Dudong dengan peruntukan masing-masing RM30 juta, untuk memberikan kemudahan pendidikan lebih baik kepada generasi muda.
Pinjaman perumahan daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak turut diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM12 juta bagi 22 rumah panjang, yang meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.
Pusat Komuniti dan Kebudayaan Durin bernilai RM5.8 juta turut diluluskan oleh Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh budaya dan keharmonian masyarakat tempatan.
Selain itu, Ching Yong turut mengambil inisiatif dalam pembangunan asrama baharu bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina Citizen yang musnah akibat kebakaran, membabitkan kos RM1.26 juta melalui kerjasama strategik dengan Yayasan Lee dan penyumbang lain.
Bagi projek pada masa hadapan, Ching Yong menunjukkan komitmen terhadap pembangunan yang lebih mampan dengan memperjuangkan beberapa projek berimpak tinggi, termasuk pembinaan kolam renang bertaraf Olimpik di Sibu Jaya yang bakal menjadi mercu tanda sukan buat Sibu.
“Kita juga ada merancang untuk mewujudkan Taman Pertanian Dudong, dengan matlamat menjadikan kawasan ini hab pertanian utama seluas 1,000-2,000 ekar bagi menghasilkan bakul makanan dan buah-buahan bagi Sarawak.
“Pembangunan Pelancongan Sungai Rejang, sebagai destinasi pelancongan yang mampu meningkatkan ekonomi tempatan, turut kita rancang bersama pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS),” katanya.
Ching Yong juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaksanakan audit profesional terhadap pencapaiannya.
“Jika ada yang ragu-ragu, saya bersedia untuk mengemukakan semua dokumen berkaitan. Ketelusan adalah keutamaan,” katanya.
Rentetan itu, beliau turut menyeru Ahli Parlimen Sibu dan Lanang untuk tampil dengan laporan pencapaian masing-masing, mencontohi ketelusan yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.
Selepas mengadakan kaunter berkenaan, yang lebih kepada perkhidmatan bagi permohonan Kenyalang Gold Card (KGC) dan inisiatif Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB), Ching Yong turut menggunakan kesempatan itu untuk mengedar kalendar 2025 dari SUPP Dudong kepada orang ramai.


