KUCHING: Sebanyak lebih 300 tajuk buku tempatan dikumpul untuk dihantar ke Perpustakaan Kongres dalam setahun terutamanya buku terbitan penulis Sarawak.
Menurut vendor Pejabat Perpustakaan Kongres Sarawak Chen Koi Jo, mereka mengumpul buku yang terdiri daripada pelbagai bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina, Iban terutamanya bahasa Inggeris.
“Kami mengumpul pelbagai bahan bacaan seperti buku, VCD, DVD, laporan kerajaan dan semua bahan yang untuk dikeluarkan bagi bacaan umum.
“Buku tersebut akan dihantar ke pejabat Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum dihantar ke Perpustakaan Kongres di Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Suara Sarawak, di sini semalam.
Selain di Kuching, beliau turut ditugaskan untuk mengumpul buku daripada penerbit di Sibu dan Miri.
“Kami juga membeli buku daripada syarikat penerbitan di Sibu kerana di sana buku dalam bahasa Cina mudah diperolehi berbanding di kawasan lain,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, pihak universiti turut meminta mereka mencari buku dan bahan pembelajaran untuk dijadikan sumber rujukan.
Sebagai rekod, Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat adalah perpustakaan penyelidikan terbesar di dunia yang terletak di Washington.
Perpustakaan ini membenarkan orang awam mengakses sumber pengetahuan yang pelbagai dengan menyediakan berjuta-juta koleksi buku, filem dan rakaman video serta audio, gambar, surat khabar, peta dan manuskrip.



