KUCHING: Buku Wanita Sarawak 2026: Sarawak Women in Digital Economy mencipta kelainan apabila menjadi edisi pertama dalam siri penerbitan Buku Wanita Sarawak yang mengintegrasikan teknologi Realiti Terimbuh (AR) bagi memberi pengalaman pembacaan lebih interaktif kepada orang ramai.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, menerusi teknologi itu, pembaca hanya perlu mengimbas kod QR yang terdapat pada halaman buku menggunakan telefon pintar untuk mengakses video pengenalan diri dan galeri maya setiap personaliti yang dipaparkan.
Menurutnya, inovasi tersebut membolehkan pembaca mengikuti kisah perjalanan, cabaran profesional serta inovasi digital berimpak tinggi yang diterajui oleh 23 personaliti wanita Sarawak yang diketengahkan dalam naskhah berkenaan.
“Penerbitan Sarawak Women in Digital Economy merupakan siri ke-14 Buku Wanita Sarawak yang diterbitkan secara konsisten sejak 2010 menerusi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) sempena sambutan Hari Wanita.
“Penerbitan berkala ini bertujuan menghargai jasa dan sumbangan wanita Sarawak selain menjadi khazanah dokumentasi yang boleh dijadikan rujukan rasmi oleh penyelidik, institusi pendidikan, agensi pembangunan serta generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Wanita Sarawak 2026: Sarawak Women in Digital Economy di Galeri Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, sepanjang 14 siri penerbitan itu, sebanyak 405 personaliti wanita Sarawak telah didokumentasikan merangkumi pelbagai bidang termasuk politik, kesukarelawanan, kesenian, sukan, kesihatan, keselamatan, penulisan ilmiah, perniagaan, inovasi, teknologi dan ekonomi digital.
Tambah beliau, edisi terbaharu itu mengetengahkan 23 wanita daripada pelbagai latar belakang seperti akademia, penyelidikan, pentadbiran dan dunia perniagaan termasuk pakar pemasaran digital, pelatih kecerdasan buatan (AI) serta pembangun sistem dan aplikasi korporat.

Katanya, penerbitan itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadikan transformasi digital dan inovasi teknologi sebagai pemacu utama pembangunan negeri.
“Kita mahu memastikan wanita Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah bangkit sebagai pemain industri dan pemimpin digital yang menyokong penuh visi Sarawak Maju 2030,” ujarnya.
Selain diterbitkan dalam bentuk fizikal, beliau memaklumkan, buku tersebut turut dilancarkan dalam versi e-buku bagi memastikan kandungan interaktif itu dapat diakses lebih meluas tanpa mengira lokasi sekali gus memberi inspirasi kepada lebih ramai pembaca.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, kementeriannya akan melancarkan sebuah lagi buku bertajuk Mawar Astana Mekar Dijiwa pada 17 Ogos ini yang ditulis oleh Datuk Dr Jeniri Amir dan Rohana Wahed.


