ARTIKEL

KOTAK… sebuah perahu tradisional yang menggambarkan sejarah penempatan di kawasan Bintawa.

Bulatan Kotak Bintawa martabat sejarah komuniti nelayan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelancaran Bulatan Kotak Bintawa bukan sekadar mercu tanda baharu, malah menjadi penghormatan kepada perintis Bintawa serta mengingatkan masyarakat mengenai satu bab penting dalam sejarah pembangunan bandar ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, berkata bulatan tersebut melambangkan penghargaan terhadap sejarah setempat serta menjadi peringatan kepada generasi akan datang mengenai asal usul komuniti Bintawa yang bersejarah.

“Mercu utama bulatan berkenaan ialah kotak, iaitu sebuah perahu tradisional yang pernah digunakan secara meluas oleh nelayan di Bintawa sebagai pengangkutan utama ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan sekitar Kuching setiap hari.

“Bagi kebanyakan keluarga, kotak ini bukan sekadar sebuah perahu, malah menjadi sumber pendapatan serta lambang harapan untuk membina kehidupan yang lebih baik bersama keluarga mereka.

“Setiap pelayaran di sungai melambangkan keberanian dan ketabahan dalam membina kehidupan daripada hasil perairan di sekitar Kuching, sekali gus meninggalkan warisan yang amat bernilai kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulatan Kotak Bintawa, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, lokasi berkenaan merupakan antara penempatan terawal nelayan di Kuching, apabila ramai pendatang awal masyarakat Cina menetap berhampiran Sungai Sarawak kerana sumber rezeki melalui kegiatan perikanan.

“Para nelayan tersebut bekerja dengan penuh ketekunan dan keazaman bagi membekalkan hasil laut segar kepada penduduk Kuching, sekali gus menyumbang kepada perkembangan bandar melalui usaha yang berterusan sepanjang zaman,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wee menegaskan bahawa pembangunan bandar bukan sahaja tertumpu kepada pembinaan bangunan dan jalan raya, sebaliknya turut merangkumi usaha memelihara sejarah, tradisi serta kenangan yang membentuk identiti sesebuah komuniti.

Justeru, katanya, MBKS memilih menghidupkan semula memori tersebut menerusi mercu tanda itu supaya generasi akan datang mengetahui bahawa Bintawa pernah menjadi penempatan nelayan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Kuching.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Perikanan Kotak Kuching atas usaha memelihara sejarah kotak dan komuniti nelayan serta berkongsi pengetahuan berharga sehingga projek itu berjaya direalisasikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam perancangan, reka bentuk dan pembinaan Bulatan Kotak Bintawa yang menjadi mercu tanda bersejarah untuk generasi akan datang,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU