KUCHING: Kes buli melibatkan kanak-kanak dan remaja di Malaysia termasuk Sarawak semakin membimbangkan dengan bentuk kejadian merangkumi fizikal, emosi, mental serta siber.
Bendahari Pertubuhan Sosial PurpleLily Kuching, Suraya Bujang berkata, pemerhatian mereka mendapati buli siber kian berleluasa akibat pengaruh media sosial, kurang kawalan ibu bapa dan budaya menormalisasikan tingkah laku agresif.
Katanya, buli emosi seperti ejekan, penghinaan, pengasingan sosial dan manipulasi memberi kesan jangka panjang terhadap kesejahteraan psikologi mangsa.
“Buli jenis ini sering tidak kelihatan di mata orang luar, namun kesannya kepada keyakinan diri dan kesihatan mental mangsa amat mendalam,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak di sini hari ini.
Walaupun tidak menerima aduan rasmi berkaitan buli, Suraya memaklumkan mereka kerap mendengar perkongsian pengalaman peserta program yang menjadi mangsa ‘body shaming’, penghinaan di media sosial dan pengasingan sosial.
Menurutnya, kes-kes sedemikian lebih mudah berlaku dalam kalangan remaja perempuan yang aktif di media sosial, selain tekanan rakan sebaya di persekitaran sekolah.
“Melalui program bersama remaja dan wanita muda, kami sering mendengar perkongsian pengalaman yang melibatkan buli secara tidak langsung.
“Antara bentuk buli yang kerap berlaku ialah ejekan berkaitan rupa fizikal (body shaming), penghinaan melalui media sosial (buli siber), serta pengasingan sosial (social exclusion). Semua ini termasuk dalam kategori buli mental dan emosi yang memberi kesan mendalam kepada keyakinan diri dan kesihatan mental remaja” katanya.
Cabaran di luar bandar Sarawak pula kata beliau, lebih besar kerana kekurangan akses kepada khidmat kaunseling dan sokongan psikososial, selain stigma masyarakat yang menganggap buli sebagai perkara biasa,” katanya
Budaya ‘diamkan sahaja’ menurut Suraya, akan menyebabkan ramai mangsa enggan tampil membuat laporan kerana bimbang dipersalahkan atau tidak dipercayai oleh orang dewasa.
Bagi menangani isu tersebut katanya, PurpleLily melaksanakan program kepimpinan, bengkel keyakinan diri dan kemahiran komunikasi berkesan di sekolah serta komuniti luar bandar. Setiap program itu turut diselitkan elemen antibuli bagi memberi kesedaran awal kepada pelajar mengenai hak mereka serta saluran bantuan yang wujud.
“Saya turut menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa dan sekolah melaksanakan sistem pelaporan mesra pelajar, melatih guru mengesan tanda awal buli serta mengadakan kempen literasi digital untuk membendung buli siber,” ujarnya.
Pendekatan itu kata Suraya, perlu dilaksanakan secara konsisten dan tidak hanya digerakkan apabila kes besar berlaku atau tular di media sosial.



