Bungkusan dadah dari Miri bernilai RM73,400 tidak dituntut

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui satu bungkusan berisi dadah Methamphetamine seberat 1468 gram di sebuah premis pengangkutan Jalan Datuk Tawi Sli, Jumaat lalu.

Pengarahnya Herman Shah Abdullah berkata bungkusan dianggarkan bernilai RM73,400 itu dikesan pasukan Cawangan Narkotik JKDM Kuching ketika membuat pemeriksaan di lokasi sekitar jam 12.55 tengah hari.

Menurutnya bungkusan kecil tersebut yang menggunakan cetakan ‘Juice Master’ didapati mencurigakan selepas kiriman daripada Miri itu tidak dituntut oleh pemiliknya yang berada di Kuching.

“Usaha untuk menjejaki individu pengirim dan penerima bungkusan tersebut sedang giat dijalankan.

“Modus operandi individu terlibat adalah dengan menggunakan perkhidmatan kargo antara bandar untuk pengiriman bungkusan dipercayai bagi mengelak daripada dikesan pihak penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kos perkhidmatan yang murah dan cepat menjadi sebab kecenderungan ianya menjadi pilihan berbanding dengan perkhidmatan kurier konvensional.

Tegasnya kini dalam siasatan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Herman dalam pada itu menyeru agar orang ramai yang mempunyai maklumat terhadap sebarang aktiviti penyeludupan barang terlarang untuk menyalurkannya kepada penguatkuasa menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Suara Sarawak