LAWAS: Seorang buruh ditahan selepas cuba melarikan diri dalam operasi di tepi Jalan Sundar di sini semalam, yang membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 30 gram.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan pada jam 4.40 petang kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan polis menemui sebuah beg silang mengandungi 18 paket plastik dan dua keratan tiub straw berisi kristal disyaki syabu bernilai kira-kira RM6,000.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine. Semakan rekod mendapati lelaki ini mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya memetik laporan TVS, hari ini.
Liong menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam operasi berasingan di tepi Jalan Trusan pada jam 12.30 tengah hari, beliau memaklumkan seorang lagi buruh lelaki turut ditahan.
“Walaupun pemeriksaan fizikal tidak menemui dadah, ujian air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine dengan satu rekod lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.



