MUKAH: Seorang buruh warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan di sebuah tapak projek pembangunan di Kampung Tellian Tengah, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, pemeriksaan terhadap suspek, 21, menemukan satu keratan tiub straw lut sinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.46 gram dan suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kertas siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 turut dibuka selepas mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Tambahnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga 17 Julai ini bagi melengkapkan siasatan.
Tegas Rizal, IPD Mukah komited membanteras segala bentuk aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya kepada IPD Mukah menerusi talian 084-871222 atau balai polis berhampiran,” tambahnya lagi.




